ANALISIS ALIH KOD DALAM KONTEKS
PERBUALAN SOSIAL : SECARA UMUM
Abstrak
Alih kod merupakan satu fenomena yang baru dalam abad ke sembilan belas dan ke dua puluh. Alih kod merupakan pemakaian dua atau lebih bentuk atau ragam bahasa secara bergantian oleh penutur yang sama. Fenomena ini lazimnya berlaku di kalangan penutur dwibahasa dan juga di kalangan penutur anekabahasa. Kontak bahasa yang sering terjadi di kalangan penutur dwibahasa mahupun anekabahasa ini memungkinkan wujudnya penggantian pemakaian bahasa oleh penutur semasa bertutur. Salah satu faktor utama terjadinya alih kod di kalangan penutur adalah faktor pendidikan yang bilingual. Dalam kertas kerja ini, penulis akan membincangkan fenomena alih kod dalam konteks perbualan dialek Melayu Brunei secara umumnya. Di samping itu, penulis akan melihat fungsi alih kod dalam perbualan, faktor-faktor yang mendorong terjadinya alih kod dan juga kesannya terhadap bahasa Melayu.
1.0. Pengenalan
Alih kod merupakan istilah yang umum dalam kajian sosiolinguistik. Alih kod merupakan fenomena yang lazimnya wujud di kalangan penutur dwibahasa dan juga penutur yang bersifat anekabahasa. Di samping itu, fenomena ini juga terjadi di kalangan penutur ekabahasa. Hal ini telah dinyatakan oleh Poedjosoedarmo (lihat Zini Haji Dullah, 1996/1997: 16) bahawa:
"Alih kod juga dikatakan boleh terjadi dalam masyarakat ekabahasa. Alih kod yang terjadi dalam masyarakat ekabahasa ini merujuk pada peralihan kod yang terjadi dari satu variasi ke variasi yang lain ataupun dari satu dialek ke dialek yang lain".
Penggunaan alih kod dalam perbualan berkait rapat dengan dua bahasa yang saling bertindih sama ada pada peringkat fonologi, semantik, leksikal mahupun tatabahasa. Pada umumnya penutur yang sering beralih kod dalam perbualan adalah terdiri daripada individu yang mempunyai kebolehan dalam berbahasa dua atau lebih bahasa. Dengan ini, dapat dikatakan bahawa alih kod itu adalah satu fenomena yang natural bagi menonjolkan ciri-ciri kedwibahasaan.
1.1. Hubungan alih Kod dengan Sistem Dwibahasa Di Brunei
1.1.1. Dialek Melayu Brunei
Dialek Melayu Brunei merupakan bahasa pengantar atau lingua franca antara puak-puak Brunei atau bangsa di Negara Brunei Darussalam. Ini kerana majoriti penduduk negara ini memahami dan menguasai dialek Melayu Brunei sebagai alat komunikasi sehari-hari. Dialek Melayu Brunei lazimnya digunakan dalam konteks pertuturan informal dan juga situasi semi formal. Selain itu, dialek Melayu Brunei juga digunakan dalam sistem pembelajaran dan pengajaran di sekolah-sekolah sebagai bahasa pengantar ilmu bagi tujuan penjelasan dan pemahaman yang lebih mudah.
1.1.2. Bahasa Inggeris
Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang dianggap mempunyai nilai komersial yang tinggi dan berprestij tinggi. Hal ini kerana bahasa Inggeris digunakan secara meluas dalam sistem pendidikan, dalam bidang ekonomi mahupun pembangunan negara secara umumnya. Pada mulanya, sistem pendidikan di Negara Brunei Darussalam hanya berdasarkan sistem monolingual, iaitu bahasa Melayu sahaja. Oleh kerana bahasa Inggeris mempunyai nilai kepentingan yang tinggi sebagai bahasa antarabangsa sistem pendidikan dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di Negara Brunei Darussalam mula diperkenalkan selepas kemerdekaan, iaitu pada tahun 1984. Bermula dari sinilah mata pelajaran bahasa Inggeris menjadi mata pelajaran yang penting dan wajib lulus dalam semua peperiksaan. Selain itu, bahasa Inggeris juga merupakan tiket untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
1.1.3. Bahasa Melayu Standard
Bahasa Melayu Standard merupakan bahasa rasmi Negara Brunei Darussalam. Bahasa Melayu baku lazimnya digunakan dalam situasi formal sama ada dalam sektor kerajaan mahupun sektor swasta. Dalam sistem pendidikan pula, bahasa Melayu juga merupakan mata pelajaran yang diwajibkan lulus dalam peperiksaan, baik di peringkat rendah ataupun di peringkat yang tinggi. Di samping itu, bahasa Melayu juga digunakan secara menyeluruh dalam pemberitaan, surat-menyurat, papan-papan tanda dan pengucapan dalam sesuatu majlis.
2.0. Definisi Alih Kod
Secara umumnya alih kod lazimnya berlaku dalam masyarakat yang penuturnya bersifat bilingual atau multilingual. Alih kod disebut juga sebagai penukaran kod. Dalam Kamus Linguistik (1997: 8), "alih kod merupakan penggunaan kelainan bahasa atau bahasa lain bergantung pada hakikat dengan siapa seseorang bercakap atau di mana dia bercakap."
Para sarjana linguistik khususnya dalam bidang sosiologi dan sosiolinguistik telah banyak membuat kajian mengenai hal ini. Dengan ini, terdapat pelbagai definisi telah dikemukakan oleh sarjana-sarjana berkenaan mengenai konsep alih kod. Menurut Carol Myres Scotton dan W. Ury (lihat Wong Khek Seng, 1991: 1052), menyatakan bahawa alih kod bermaksud:
"penggunaan dua ragam linguistik atau lebih dalam perbualan atau interaksi yang sama. Penukaran itu mungkin hanya melibatkan sepatah perkataan atau pertuturan yang beberapa minit sahaja. Ragam itu mungkin terdiri daripada dua bahasa yang tidak berhubung secara genetik ataupun daripada dua gaya dalam bahasa yang sama".
G. Valdes-Fallis (lihat Wong Khek Seng, 1991: 1052), pula menyatakan bahawa alih kod merupakan "penggunaan dua bahasa secara berselang-seli yang terjadi pada peringkat kata, frasa, klausa".
Manakala Pietro (1977), Trugdrill (1974) dan Hudson (1980) pula menyatakan bahawa "peralihan atau penukaran kod itu melibatkan penukaran dari satu ragam bahasa kepada satu ragam bahasa yang lain yang dipengaruhi oleh faktor situasi dan masa".
(Universiti Sains Malaysia, 2000).
Fenomena peralihan kod dalam perbualan juga pernah dikemukakan oleh Za'ba, iaitu:
"orang yang baru tahu bahasa asing suka berlagak memakai perkataan bahasa asing supaya menunjukkan ia tahu bahasa itu, perbuatan-nya itu di-ikot oleh orang lain yang tiada tahu. Akhirnya ketepi perkataan bahasa yang sendiri yang sudah ada. Orang2 yang tahu bahasa asing tiada pandai dalam bahasa sendiri dengan tidak pula usaha menyiasat-nya. Bila susah sedikit dapat perkataan bahasanya sendiri di-pakai-nya-lah perkataan bahasa asing itu" (Za'ba, 1965: 268).
Berdasarkan dari penyataan yang dibuat oleh Za'ba ini jelas memperlihatkan bahawa fenomena alih kod itu terjadi dalam masyarakat yang penuturnya mempunyai lebih dari satu bahasa. Penutur biasanya beralih kod untuk tujuan menunjukkan kebolehan mereka dalam berbahasa asing. Di samping itu, jika penutur mengalami kesukaran untuk menyatakan sesuatu dalam bahasa ibunda, penutur juga akan beralih kod dengan menyelitkan kata-kata dari bahasa asing.
Selain itu, Appel (lihat Zini Haji Dullah, 1996/ 1997 : 27) menyatakan bahawa "alih kod merupakan suatu peralihan percakapan dari masalah yang satu ke masalah yang lain". Ini bermaksud bahawa perubahan kod semasa berbual itu terjadi disebabkan oleh tajuk perbualan yang tidak konsisten atau berubah-ubah. Penutur lazimnya akan beralih kod dengan menggunakan bahasa lain jika wujudnya perkataan-perkataan yang tidak dapat diungkapkan dalam bahasa ibunda.
Gumperz, J.J (lihat Wong Khek Seng, 1991: 1052), pula menyatakan bahawa:
"pertukaran kod dalam perbualan dapat ditakrifkan sebagai penyelitan dua sistem atau subsistem kenahuan yang berbeza ke dalam sesuatu urutan ujaran (speech exchange) yang sama. Lazimnya, alternasi tersebut melibatkan dua ayat secara urutan dan seseorang penutur akan menggunakan bahasa kedua sama ada untuk menghalang mesejnya atau untuk membalas pernyataan orang lain".
Berdasarkan pada definisi-definisi yang dinyatakan di atas jelas menunjukkan bahawa fenomena alih kod itu berlaku dalam masyarakat yang penuturnya mempunyai lebih dari satu bahasa. Peralihan kod itu terjadi dalam pelbagai bentuk termasuklah perubahan pada leksikal atau perkataan, dalam ayat dan juga frasa dalam kedua-dua bahasa. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa alih kod adalah satu fenomena yang natural bagi menunjukkan gaya atau ciri komunikasi masyarakat dwibahasa mahupun anekabahasa.
2.1. Ciri-ciri Peralihan Kod
Ciri yang utama dalam fenomena alih kod adalah ciri kedwibahasaan ataupun keanekaan bahasa dalam sesuatu masyarakat. Ciri-ciri peralihan kod dapat dilihat dengan jelas apabila penutur itu mahir menggabungkan kemahiran berbahasa sama ada dalam dua atau lebih bahasa semasa berinteraksi.
Proses peralihan kod antara dua bahasa biasanya melibatkan sekurang-kurangnya satu bahasa yang berbeza dari segi genetik yang berlainan, misalnya antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Di samping itu, perkataan-perkataan yang dialih kod atau dicampurkan itu mestilah mempunyai ciri kemiripan walaupun tidak serupa.
Sehubungan dengan ini, Poplack (lihat Wan Imran Mohamad Woojdy, 2000) telah berpendapat bahawa proses peralihan kod itu merupakan proses mental yang tidak disedari oleh penuturnya. Ini bermaksud alih kod yang terjadi itu adalah di luar tahap kesedaran penutur sehingga bahasa yang digunakannya tidak dapat ditentukan ragam-nya. Misalnya seorang Melayu sedang bercakap dengan menggunakan bahasa Melayu dengan tiba-tiba penutur ini menukar bahasanya ke bahasa Inggeris. Ini jelas menunjukkan bahawa fenomena alih kod itu terjadi tanpa disedari atau dirancang.
Selain daripada ciri-ciri yang disebutkan di atas, terdapat juga ciri-ciri lain yang menyokong konsep peralihan kod seperti keseimbangan bahasa, kemahiran berbahasa asing, kekurangan istilah-istilah dalam bahasa ibunda, keformalan dan juga keterbiasaan menggunakan bahasa Inggeris dalam berkomunikasi.
3.0. Jenis-Jenis Alih Kod
Appel dan Mysken (1987:118) telah membahagikan alih kod itu kepada tiga jenis , iaitu alih rangkaian (tag-switching), alih kod interayat (inter-sentential) dan alih kod intraayat (intra-sentential).
3.1. Alih rangkaian (tag-switching)
Alih rangkaian adalah alih kod yang melibatkan penyelitan kata untuk menyambung sesuatu bahasa dalam perbualan. Alih kod jenis ini biasanya digunakan dengan menyelitkan perkataan-perkataan dari bahasa asing seperti bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu atau dialek Melayu Brunei semasa berbual. Antara perkataan-perkataan yang sering diselitkan dalam perbualan itu seperti you know, as if, I mean, so, well, and then, but, anyway, since dan sebagainya. Perkataan-perkataan dari bahasa asing yang diselitkan semasa berbual ini lazimnya digunakan secara spontan oleh penutur untuk menggantikan perkataan yang tidak diketahui atau sebagai satu kebiasaan penutur itu sendiri. Ia juga dikatakan sebagai satu teknik atau gaya untuk memberi penjelasan atau mengubah sesuatu yang diperkatakan.
Contoh :
a) "… ada kita coins lagi? Nada … I think iatah ganya yang ada tu …"
b) "… exam inda lagi lama … so masa ani sibuk buat revision …"
c) "… banyak remaja masa ani dah berani berpakaian seksi … you know … ikut fesyen semasa la katakan …"
d) "… lama sudah jirannya atu pindah, I think … since dua minggu lalu …"
3.2. Kod Interayat (inter-sentential switching)
Alih kod interayat (inter-sentential switching) pula adalah alih kod yang terjadi antara ayat, iaitu dari ayat ke ayat. Alih kod jenis ini secara tidak langsung melibatkan peralihan kod dalam klausa dan ayat dalam situasi perbualan.
Contoh;
a) "… kami ikut lawatan ke Kuala Balai on Sunday ani. Bayaran bagi trip ani ganya thirteen dollars termasuk entering fee, transport and food …"
b) "… last week aku shopping dengan sisterku. Thats why la aku inda dapat datang function di rumah …"
c) "… tension ku eh … buku yang kupinjam dari library nada. Puas sudah ku search dalam bilik but I can't find it. May be ilang kali …"
3.3. Alih kod Intraayat (Intra-sentential switching)
Manakala alih kod intraayat (intra-sentential switching) pula bermaksud alih kod yang terjadi di dalam ayat itu sendiri sama ada dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris ataupun sebaliknya. Alih kod jenis ini dikatakan hampir serupa dengan alih rangkaian hanya yang membezakan adalah alih kod jenis ini tidak terbatas pada penggunaan yang ringkas seperti kata you know, so, I mean dan sebagainya. Dengan kata lain, alih kod jenis ini bersifat lebih luas, iaitu melibatkan satu tahap perbualan dan wacana.
Contoh:
a) "… if kita terus membiarkan diri kita didera emotionally ia akan menyebabkan stress …"
b) "… inda banyak textbooks yang dapat dirujuk … ada graph dah ku submit tapi inda kana terima sal unrelevance ..."
c) "… jangan lupa tomorrow tani ada discussion pasal assignment yang kan dihantar next two weeks …"
4.0. Fungsi-fungsi Alih Kod
Pada lazimnya penutur menggunakan bahasa menurut fungsi yang dikehendaki sesuai dengan konteks dan situasi. Begitu juga halnya dengan penutur yang beralih kod semasa berbual, mereka beralih kod menurut fungsi yang dikehendaki. Alih kod boleh berfungsi sebagai fungsi ekspresif atau untuk meluahkan perasaan sama ada perasaan marah, tidak puas hati, sedih, gembira dan sebagainya. Penutur kadangkala tidak dapat mengungkapkan maksud sebenar dalam bahasa ibundanya dan inilah yang menyebabkan penutur tersebut beralih kod dengan menggunakan perkataan dari bahasa Inggeris untuk menyatakan maksud perasaannya yang sebenarnya.
Contoh;
a) "… I'm so excited … aku lulus ujian memandu …"
b) "… fed up ku eh … kenapa aku saja yang kana salahkan …"
c) "… banyak lagi kereta ani … tension ku eh …"
Perkataan excited, fed up dan tension yang digunakan oleh penutur adalah semata-mata untuk melahirkan perasaan sebenar yang dirasainya. Dalam erti kata lain, kata-kata yang ada dalam bahasa Melayu itu dikatakan kurang atau tidak dapat menjelaskan perasaan sebenar yang dirasai oleh penutur.
Penukaran kod juga dapat memudahkan pemahaman atau penjelasan tentang sesuatu yang dituturkan. Terdapat beberapa perkataan yang tidak dapat dijelaskan dalam bahasa ibunda dan ini memerlukan penggantian dari bahasa asing misalnya istilah-istilah perniagaan, ekonomi, perubatan dan sebagainya. Biasanya perkataan-perkataan yang diselitkan menunjukkan bahawa bahasa Inggeris itu seakan-akan dapat memberi penjelasan yang lebih tepat.
Contoh;
a) "…secretary yang baru itu sedang diberi penerangan oleh seorang supervisor…"
b) "…dia ditahan di wad kecemasan kerana mengalami internal bleeding yang teruk dan perlu dijalankan operation…"
Walaupun perkataan secretary, internal bleeding dan operation mempunyai kata seerti dalam bahasa Melayu, penutur tetap menggantikannya dengan perkataan dari bahasa Inggeris. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh kebiasaan penutur atau keinginan penutur itu sendiri untuk menyampaikan maksud yang paling tepat. Selain itu, alih kod dalam perbualan juga boleh membawa fungsi sebagai satu cara untuk merahsiakan sesuatu supaya tidak difahami oleh orang lain. Ini bermaksud jika seseorang itu beralih kod semasa berbual dengan rakannya, orang lain yang tidak tahu berbahasa Inggeris yang mungkin berada berdekatan dengannya tidak akan dapat memahami butiran yang sedang dibualkan oleh penutur tersebut. Sesetengah penutur khususnya para remaja sering menggunakan alih kod sebagai satu kod tertentu atau makna yang tersendiri yang hanya difahami oleh penutur dan rakannya.
Kata ganti nama diri orang juga sering dialih kod oleh penutur semasa berbual. Ini kerana penutur ingin mewujudkan situasi perbualan yang mesra terutama sekali orang yang dibawa berbual itu berlainan pangkat atau peringkat umur. Di samping itu, penutur juga ingin menghindarkan kata ganti nama penanda status (Wan Imran Mohamad Woojdy, 2000). Lazimnya kata ganti nama diri orang yang dialih kod ialah kata you bagi kata awak, kau, kamu, anda dan engkau dan kata I bagi kata saya atau aku. Selain itu, alih kod juga dapat berfungsi sebagai isyarat atau penanda bagi mengakhiri perbualan. Antara alih kod yang sering digunakan bagi menandakan berakhirnya sesuatu perbualan itu seperti I think thats all, I guess so, okey then dan sebagainya.
Penutur juga kadangkala beralih kod semata-mata untuk menonjolkan status atau identiti dirinya. Ini kerana bahasa Inggeris dianggap sebagai bentuk yang prestij dan ukuran taraf pendidikan atau status sosial. Dengan beralih kod penutur dapat menunjukkan kemahirannya bertutur dalam dua bahasa dengan baik dan menunjukkan bahawa dirinya seorang yang berpendidikan tinggi. Menurut Wong Khek Seng (1991: 1059), wanita yang berpendidikan tinggi lebih cenderung beralih kod berbanding penutur lelaki. Hal ini mungkin disebabkan oleh perubahan peranan yang dimainkan oleh kaum wanita dalam masyarakat, iaitu mereka lebih terpelajar dan memegang jawatan yang penting. Dengan ini, wanita menyedari tentang soal status mereka dan menyebabkan mereka menggunakan bahasa Inggeris pada situasi yang tertentu sebagai unsur prestij.
5.0. Faktor-Faktor Yang Menyebabkan Terjadinya Alih Kod
Fenomena alih kod amat berkait-rapat dengan faktor sosial. Antara faktor sosial yang mempengaruhi peralihan kod dalam perbualan adalah taraf pendidikan, persekitaran tempat kerja, topik perbualan dan masyarakat dwibahasa itu sendiri.
Faktor pendidikan merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan berlakunya alih kod dalam perbualan. Golongan yang berpendidikan tinggi, iaitu di kalangan yang berpendidikan sekolah menengah hingga ke peringkat universiti didapati sering beralih kod semasa berbual. Peralihan kod bukan sahaja melibatkan penyisipan kata-kata bahasa Inggeris tetapi juga melibatkan peringkat frasa dan ayat. Sebaliknya, fenomena ini didapati kurang atau tidak berlaku di kalangan yang berpendidikan rendah seperti di kalangan suri rumahtangga. Ini kerana golongan ini dianggap sebagai penutur ekabahasa yang tidak terdedah dengan dunia luar.
Persekitaran tempat kerja juga antara faktor penyebab terjadinya alih kod semasa berbual. Golongan yang berpendidikan tinggi yang kebanyakannya memegang jawatan penting sama ada di sektor awam mahupun di sektor swasta sering terdedah dengan penggunaan bahasa Inggeris semasa berkomunikasi terutama sekali dengan rakan sejawatan yang bukan Melayu mahupun pelanggan bukan Melayu. Dalam hal ini, peralihan kod bahasa Melayu-bahasa Inggeris akan sering terjadi semasa berbual kerana ia telah menjadi suatu kebiasaan kepada diri penutur itu sendiri.
Selain itu, perubahan topik perbualan semasa berbual juga boleh menyebabkan seseorang penutur itu beralih kod secara rambang dan bebas. Hal ini telah dinyatakan oleh E. Haugen (1972), iaitu sesuatu topik baru itu biasanya akan mencetuskan peralihan kod (rujuk Wong Khek Seng, 1991: 1056). Apabila tajuk perbualan berubah-ubah misalnya dari topik perbualan biasa kepada topik pelajaran atau pekerjaan, penutur dengan spontan akan beralih kod dengan menyelitkan perkataan-perkataan dari bahasa asing. Ini disebabkan adanya istilah-istilah yang tertentu yang hanya dapat dijelaskan dengan tepat dengan menggunakan bahasa asing.
Fenomena alih kod tidak akan terjadi jika tidak wujud masyarakat bilingual. Dengan ini, jelas menunjukkan bahawa bilingualisme itu merupakan syarat yang penting bagi kewujudan fenomena alih kod itu. Oleh yang demikian, penguasaan yang baik dalam dua atau lebih bahasa oleh penutur bilingual itu lazimnya menjurus kepada penggunaan perkataan dari kedua-dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara silih berganti.
6.0. Kesan pada Bahasa Melayu
Pada pendapat penulis, fenomena alih kod boleh memberi kesan yang negatif terhadap sistem bahasa Melayu dan fenomena ini dikatakan salah satu dari pencemaran bahasa. Oleh kerana fenomena alih kod melibatkan penggunaan dua bahasa secara bertindih atau silih berganti, dengan ini sering berlaku banyak kesalahan sama ada dari aspek sintaksis mahupun aspek makna terutama sekali di kalangan penutur yang kurang mahir dalam berbahasa Inggeris. Selain itu, pemilihan kata-kata secara bebas dan rambang semasa beralih kod juga mengakibatkan kekeliruan makna atau konsep yang sebenar. Ini bukan sahaja menyebabkan kekaburan makna tetapi juga mengurangkan kefahaman pendengar terhadap mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh penutur.
7.0. Kesimpulan
Alih kod merupakan suatu fenomena yang jelas wujud dalam masyarakat bilingual mahupun masyarakat multilingual. Ia merupakan suatu gejala yang menonjol dalam konteks perbualan sosial dan sangat meluas penggunaannya terutama sekali dalam era globalisasi yang terdedah dengan perubahan bahasa akibat dari pengaruh bahasa-bahasa asing. Faktor-faktor seperti faktor pendidikan, pengaruh persekitaran tempat bekerja dan perubahan topik perbualan merupakan penyebab utama berlakunya peralihan kod dalam perbualan khususnya perbualan secara informal. Walaupun fenomena alih kod ini dikatakan dapat membantu dalam memberi penjelasan yang lebih baik namun ia juga memberi kesan yang negatif terhadap sistem bahasa Melayu itu secara tidak langsung. Alih kod juga dikatakan suatu pelanggaran atau suatu yang bertentangan dengan peraturan tatabahasa bahasa Melayu. Ini kerana alih kod yang tidak mahir dikatakan boleh merosakkan bahasa disebabkan susunan sintaksis yang tidak teratur dan makna yang salah.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar